Jan 6, 2011

Tahun '94: Pengalaman hampir diculik!!!


Tengok cerita 360, TV3 tadi membuatkan BKSempoi terkenang kembali akan peristiwa beberapa tahun lama dahulu iaitu hampir-hampir diculik oleh seorang pemuda. Pengalaman tersebut hampir hilang dalam ingatan kerana pada masa tersebut masih belum berfikir akan seriusnya perkara ini.

Kali ini BKSempoi menceritakan tentang diri BKSempoi yang harus dijadikan iktibar dan pengajaran kepada semua. Awasi anak-anak anda. Mereka tidak tahu apa-apa melainkan hanya Tuhan yang melindungi.

*********KISAHNYA*********

Suatu tengahari, pada tahun 1994. Baru pulang dari kelas tadika. Di muka pintu pagar tadika, Cikgu Zah tanya nak balik mana? Cakap la nak balik rumah jalan sana. Entah kenapa pada masa tu berani pula nak balik  rumah padahal sebelum ni balik rumah ibu saudara berhampiran, kurang 200 meter tetapi arah jalan lain. 

Memang sebelum itu sudah merancang beberapa kali untuk pulang terus ke rumah dan bukan ke rumah ibu saudara. Perancangan tersebut beberapa kali juga tidak kesampaian. Namun pada hari kejadian. Aku ada beritahu salah seorang rakan tadika, "balik satgi aku nak balik umah"

Detik yang dirancang telah tiba. Segala pelan dan jalan shortcut telah jumpa. Hanya tunggu masa untuk  bertindak.

Cikgu pun tanpa syak wa sangka melepaskan balik rumah lebih kurang 5 km jauhnya. Cikgu tidak tahu rumah di mana. Bayangkan jalan kaki sejauh itu seorang diri dengan keadaan yang sibuk ditambah dengan orang ramai, kereta yang laju.

Dalam seorang diri berjalan kaki, ramai yang selisih menegur,"jalan elok-elok ya adik". Orang yang paling aku ingati yang menegur aku adalah seorang nyonya yang mengayuh basikal.

Tidak terlintas langsung dalam benak kepala ini akan ibu saudara yang seperti cacing kepanasan di rumah. Menunggu diriku yang tidak kunjung tiba. 

Target dalam diri bahawa aku mesti sampai rumah. Tidak terlintas langsung akan penat berjalan sejauh itu. Jika dinisbahkan dengan saiz tubuhku yang agak comel ketika itu. Semua terperanjat bahawa aku telah melakukan perkara yang merisaukan orang.

Perjalanan sudah mencapai 70%, masa untuk melintas jalan besar. Jalan tersebut memang sibuk. Motor, kereta, bas, lori, bapa lori memang laju di jalan tersebut. Tapi masa tersebut agak berpihak kepadaku kerana jalan trafik tidak padat seperti selalunya. Mungkin kerana lampu isyarat masih merah di simpang yang tidak jauh dari situ. Jadi tanpa berlengah lagi, Aku terus berlari menyeberang jalan. 

Halangan terbesar sudah lepas. Itulah kali pertama aku melintas jalan tanpa dipimpin oleh orang dewasa. 

Cuma tinggal 30% sahaja lagi jarak untuk tiba di rumah. Kaki menuju ke arah dan jalan bendang, tetapi berpatah balik kerana terserempak dengan cempelai (jebon). Terpaksa pula aku mengikut jalan jauh untuk jalan menuju ke rumah. Dalam perjalanan, melintas satu gerai tepi jalan. Makcik yang menjual tu pun menegur "nak p mana dik, jalan tepi-tepi, kheta laju". Aku langsung tidak menjawab sepatah pun teguran itu. Kaki hanya mahu sampai ke rumah sahaja.

Tatkala memasuki semula laluan yang telah diset dalam kepala aku. Tiba-tiba datang sebuah kereta berhenti mendekati aku. Tidak ingat akan model kereta tersebut. Keluar seorang lelaki cina berpakaian kemeja berusia 40-an. Tidak kurus dan tidak terlalu gemuk. Fizikal sama seperti lelaki lain. 

Pemuda tersebut mendekati aku dan bertanya, "adik nak p mana, mai uncle nak hantaq". Baru mulut ini terbuka dan menjawab, "nak balik umah sana". "Jomlah uncle hantaq naik kheta".

Tidak semena-mena datang seorang wanita cina bersama anaknya yang turut pulang dari sekolah menaiki motosikal. Lantas dia bertanya "hai, adik nak p mana tu?". Jawapan yang sama aku jawab kepada perempuan cina tersebut berusia dalam lingkugan 30-an. "adik mai ikut sama saya, saya hantar pulang".

Aku menjadi kaku dan tidak tentu arah. Yang mana patut aku ikut. Dengan tiba-tiba lelaki cina tersebut mengeluarkan duit syiling seringgit memberi kepada aku. Lalu lelaki tersebut berkata, "adik kalau ikut uncle, uncle kasi seringgit, kalau tak, uncle tak kasi".

Difikirkan kembali, masa tersebut memang betul-betul aku dilindungi Allah. Mungkin berkat doa ibu saudara ku yang mendoakan akan keselamatan ku

Aku tidak berfikir langsung pada masa tersebut. Hanya aku ikut sahaja ke mana diri ini hendak pergi. Akhir sekali aku cair dengan wanita cina tersebut. Lantas aku mengambil duit seringgit yang ditunjukkan dalam oleh lelaki cina tersebut dalam poket kemejanya dan aku ikut wanita cina tersebut menaiki motosikal. 

Wanita cina tersebut juga mempunyai anak yang baru pulang dari sekolah naik bersama motosikal. Tetapi tahap demand aku cukup kuat. Pada mula aku disuruh duduk di depan, manakala anaknya duduk dibelakang. Tetapi aku enggan, dan meminta untuk duduk belakang. Jadi terpaksalah anaknya bertukar tempat, anaknya diraga motosikal, manakala aku dibelakang. Aku memang jahatkan.

Sampai sahaja di rumah. Mak aku sedang bersiap untuk mengambil aku di rumah ibu saudara. Aku dilindungi Allah kerana masa tersebut mak aku masih di rumah dan sedang menghidupkan enjin kereta. Jarak hanya beberapa saat sahaja mak aku mengunci rumah. Jika tidak memang bertambah risaulah mak aku apabila pergi ke rumah ibu saudaraku mendapati mereka sedang mencari aku. Allah sentiasa bersama aku pada masa tersebut. Jika tidak, mungkin mereka akan bertungkus lumus mencari aku dan membuat laporan polis padahal aku sedang menanti di rumah yang berkunci. Zaman tu mana ada telefon bimbit lagi.

Aku terhutang budi pada wanita cina tersebut kerana telah menyelamat aku dari diculik. 
  • Siapakah wanita cina yang menyelamatkan aku tu. Di mana dia sekarang?
  • Siapakah watak sebenar lelaki yang mempelawa menaiki keretanya dan menghulurkan duit syiling seringgit? Rupa paras macam usahawan. Tetapi kenapa dia mendesak sangat aku menaiki keretanya ditambah pula jika aku menaikinya. Aku diberi seringgit.
  • Agaknya nyonya yang naik basikal yang menegur aku itu masih hidup lagi tak?
  • Bagaimana keadaan ibu saudara ku masa tu. Apa yang mereka sedang buat semasa aku berjalan bersendirian.
  • Apalah agaknya perasaan ibuku tatkala mendapati anaknya tidak pulang ke rumah ibu saudara seperti selalunya.
  • Jika benar-benar aku diculik. Agaknya di manakah aku sekarang?
  • Kenapa tidak pula aku berasa penat walau sedikitpun tatkala berjalan sejauh itu.
  • Kenapa aku sanggup membuat perkara bodoh ini?
Aku memang jahat.
  • Sampai hati meresahkan hati orang tatkala penantian aku pulang kerumah ibu saudara tidak kunjung tiba.
  • Lelaki cina tersebut mempelawa menaiki keretanya dengan mengumpan duit seringgit. Tetapi aku memutuskan untuk naik motosikal wanita cina tersebut. Jahatnya aku, aku menyeluk poket kemeja lelaki tersebut dengan memanjat badannya (maklumla budak comel memang kecil) menggambil duit yang diumpannya dan tanpa rasa bersalah menuju ke arah wanita cina tersebut. Putih mata lelaki tersebut.
  • Di motosikal wanita tersebut ada anaknya yang juga berpakaian sekolah dibelakang. Aku dipelawa untuk naik melalui depan iaitu duduk diraga. Tetapi aku menyuruh anak wanita tersebut untuk duduk di depan dan aku membonceng dibelakang. Rupanya dari dulu lagi aku ni jahat.
Sebagai pengajaran
  • awasi anak-anak dan adik-adik anda. Jika mereka ingin melakukan sesuatu, bimbing mereka sebaik-baiknya. Jangan biarkan. Kerana apa yang mereka ingin lakukan, mereka akan lakukan.
  • Jika aku hanya bercakap datang seorang lelaki cina hendak menculik aku, mungkin aku agak keterlaluan aku ni rasist. Akan tetapi wanita cina datang menyelamat. Terima kasih aunty. Kejahatan dan kebaikan itu dilihat melalui individu, bukan keturunan, kaum dan agama. 


********KRONOLOGI********




  1. Di situlah tadika aku dan permulaan perjalananku.
  2. Tempat dimana aku ditegur oleh nyonya yang sedang berbasikal. Kenapa aku asyik mengingati dia walau ramai lagi yang menegur?
  3. Kali pertama aku melintas jalan tanpa bimbingan orang dewasa. Tidak jauh dari situ, itulah simpang lampu isyarat yang dimaksudkan. Dulu jalan biasa sahaja, sekarang sudah highway.
  4. Berpatah balik kerana takut akan cempelai dan ditegur makcik yang berniaga di tepi jalan tu. Dulu situ sawah padi lagi.
  5. Situlah detik-detik aku hampir diculik dan diselamatkan.
  6. Destinasi terakhir, rumah aku.
  7. Itu rumah ibu saudaraku. 

Inilah  umpannya. Sekarang sudah tiada lagi syiling ini

Jika tidak silap, inilah motosikal wanita cina tersebut.
Walaupun peristiwa tersebut sudah lama berlalu. Ia akan tetap dikenang. Kadang-kadang ibu sudah kawal sebaiknya, tetapi si anaklah yang mendatangkan perkara tidak diingini. 

2 comments:

MyZa eQaa Sweet said...

interesssstttiinngg~

boleh buat movie ni...mcm movie 24hours tu [xsilap tjuk one of english drama cmni kowt]

nadia said...

siyes..ngeri kalau kena culik

Koleksi lagi sempoi

Koleksi lagi sempoi

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...